KANGAR, 29 Jun (Hrkh) - Remaja perlu dididik dengan kefahaman Islam, sekali gus dapat membendung mereka terlibat dengan gejala sosial yang semakin berleluasa dewasa ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs), Ustaz Ahmad Adnan Fadhil berkata remaja perlu dimotivasikan dengan fikrah Islam di samping menyelami masalah mereka.
Baru-baru ini, DPPPs berjaya menganjurkan Kem Remaja Execellent (KRE) siri ketiga pada 24 Jun hingga 26 Jun lalu di Resort KEDA, Bendang Man, Sik, Kedah.
KRE kali ini adalah lanjutan daripada dua kem yang telah diadakan di Kem Asuh, Timah Tassoh, Perlis akhir tahun lalu dan di Pantai Pasir Tengkorak, Langkawi, April lalu.
"Program ini membolehkan kita mengetahui betapa rapuhnya pegangan mereka terhadap agama dan seperti dua kem yang terdahulu, kita dapat melihat ada kesannya kepada remaja terbabit," katanya.
Program kali ini disertai 69 remaja berusia 13 hingga 17 tahun, daripada kalangan anak pimpinan serta penyokong PAS dari seluruh Perlis.
Turut bersama dengan program ini ialah pimpinan DPPPs serta tenaga pengajar sekolah agama rakyat di Perlis yang bertindak sebagai fasilitator.
Aktiviti melibatkan ketahanan mental, fizikal serta rohani, seperti kem ibadat, tazkirah, solat berjemaah, qiyamulail, ‘mental game’ dan ‘Amazing Race’.
"Kem kali ini lebih menekankan aspek ibadah dan kesedaran untuk menjadi seorang insan soleh," jelas Pengarah Kem, Ustaz Yaakub Abu Seman.
Menurut Ustaz Adnan lagi, DPPPs akan cuba mengadakan aktiviti KRE ini setiap dua bulan dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Perlis.
Majlis penutup kem disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin. – BI/lanh